Bukan hanya pukul kepala, penyelia kilang turut ugut pemandu wanita
Ipoh: Lelaki yang bertindak mengasari seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah yang videonya tular di media sosial berjaya dikesan polis di sekitar Serdang, Selangor hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Serdang itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506/501 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis pada 10 pagi daripada seorang wanita berusia 24 tahun di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor mengenai insiden itu.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.33 petang semalam semasa pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku akibat daripada salah faham di atas jalan raya sekitar Pusat Peranginan Lata Iskandar, dan apabila kedua-dua kereta itu berhenti, penyelia kilang itu turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta pengadu.
Mohd Yusri berkata apabila pengadu membuka cermin keretanya, lelaki itu memarahi pengadu dan tiba-tiba memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata ugutan.
Beliau berkata hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki lelaki itu didaftarkan atas nama seorang wanita yang beralamat di Tanjung Karang, Selangor.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki keluar daripada kereta yang dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepalanya. - Harian Metro
Disiarkan pada: Jun 6, 2023 @ 9:29pm