Empat beranak maut nahas kereta rempuh lori - Sinar malaysia Selamat Datang!

Ahad, 11 Jun 2023

KAMPAR - Seorang wanita bersama tiga anaknya maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori berhampiran Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 2.27 pagi itu, Azriyani Abdul Latif, 45, bersama Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian turut mengakibatkan seorang lagi anak mangsa, Muhammad Fawwaz Nasarudin, 7, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, semasa kejadian kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib dalam perjalanan ke Tapah.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

"Semua mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

"Empat daripada mereka maut di tempat kejadian manakala seorang berada dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita.